Aku tergamam sebentar, mataku kaku melihat buku Kak Siti, roommateku, yang terdapat di atas mejanya, ”111 WASIAT RASULULLAH SAW UNTUK WANITA SOLEHAH”. Rasulullah? Nama yang sudah janggal untukku ungkap. Entah sudah berapa kurun bibirku tidak menyebutnya. Aku juga sudah lupa apa maksud ‘SAW’. Tidak semena-mena ungkapan lagu nasyid kumpulan Hijjaz ketika aku menyertai pertandingan lagu nasyid sewaktu di sekolah rendah terngiang-ngiang di telingaku. “Rasulullah dalam mengenangmu, kami susuri limpahan sirahmu, dan kami sanjung pengorbananmu… Engkau taburkan pengorbananmu Buat ummatmu…….”
Ah, aku sudah lupa apa sambungannya. Lagu itulah yang telah menaikkan nama sekolahku. Dan paling penting ketika itu aku menjadi penyanyi solo. Bagaikan terpukau mataku terus memandang buku itu. Entah sudah berapa hari aku merenung buku itu setiap kali Kak Siti tiada. Entah apa istimewanya hingga menarik tanganku untuk mengambilnya. Kubelek-belek kemudian kubaca satu persatu isi kandungannya, masih tak kutemui bab yang menarik hatiku. Akhirnya mataku terhenti bila terbaca wasiat ke 5: Jangan buat dosa besar, nak baca tapi ada rasa secebis ketakutan. Takut pada balasan yang bakal aku terima. Lebih-lebih lagi bab sebelumnya mengenai ketaatan kepada suami. Apakah pantas aku meletakkan perasaanku pada lelaki yang bukan suamiku? Apakah pantas aku menyerahkan sepenuh jiwaku terhadap insan yang bukan suamiku? Apakah pantas aku memberi ketaatanku pada insan yang bukan selayaknya? Kepalaku
cuba membayangkan semula adegan-adegan romantis antara aku dan Syam.
Cinta pertama yang berputik gara-gara tersalah ambil beg ketika minggu suai mesra untuk pelajar tahun satu. Syam, lelaki pertama yang mengisi ruang kekosongan hatiku. Dialah insan yang banyak memberiku semangat. Dialah insan yang mengeluarkan aku dari kongkongan kisah silam yang telah menghancurkan keyakinanku. Dialah insan yang membalut luka-luka dihatiku. Dialah segalanya……. Pertemuan kami dua hari lepas di kafe Sri Samping berulang tayang lagi. Mataku masih ingat senyuman manisnya. Tanganku masih merasai belaian tangannya. Telingaku masih ingat setiap huruf yang dilafazkan. Eh, terlalu bahagia. Terlalu indah hingga aku tidak tahu apa ayat yang harus kuungkap untuk menggambarkannya. Biarlah pertemuan itu milik kami. Aku tak ingin mengiktiraf kewujudan insan lain di kafe itu. Sekalipun aku dapat merasakan semua mata menjeling tajam ke arah kami. Ingin rasanya kuajak Syam ke tempat lain yang lebih sunyi dan jauh dari mata manusia tapi aku tak ingin mencacatkan setiap pertemuan kami.
Mujurlah Kak Siti tak pernah melihat kami bercengkerama di kafe. Peribadinya dan caranya bergaul dengan lelaki membuatku malu jika dia tahu. Rasa cemburu kadang-kadang menerpa ruang hatiku. Cemburu bagaimana dia boleh hidup tanpa boyfriend. Kadang-kadang aku ingin seperti dia tapi….eh, lupakan sahaja soalan ini. Apa yang nak dicemburukan, dia tu yang rugi sebab tak merasa betapa indahnya dunia percintaan. Dan aku selalu saja memberi alasan berjumpa untuk membuat asignment, untuk buat program. Aku tidak tahu sampai bila aku harus menipu Kak Siti. Kak Siti memang tak setuju berjumpa berdua dengan lelaki. Sudah acap kali menasihatiku. Eh, biarlah manusia mengutuk kami sebab mereka tak merasa apa yang kami rasa….! Tapi untuk apa matlamat cintaku pada Syam? Untuk berkahwin? Soalan yang hingga kini masih tiada jawaban. Aku juga seperti wanita lain mengimpikan seseorang yang boleh membimbing aku ke jalan yang benar. Syam memang lelaki yang membahagiakan tapi aku tak pasti adakah dia boleh membimbingku. Habis tu, untuk apa? Sekadar suka-suka? Atau mengisi kekosongan duniaku? Lalu meragut kesucianku? Eh mana mungkin Syam setega itu! Aku percaya….! Tapi bagaimana pula jika nasibku seperti Ina. Kerana cinta pada Danish sanggup berkorban. Dan kerana cinta dan pengorbanan itu jugalah yang akhirnya melahirkan seorang baby sebelum sempat mereka bernikah. Bagai pembalasan, Ina dibuang keluarga. Danish pula hilang entah ke mana. Tak cukup dengan itu, Ina sekarang terpaksa berdepan dengan penyakit tibi yang berjangkit melalui Danish. Tabahkah aku jika nasibku serupa dengannya? Ya Allah, betapa besarnya pembalasan-Mu di dunia, bagaimana pula di akhirat nanti?
Aku seperti terdengar suara batinku meraung-raung kesakitan meminta untuk dikeluarkan dari penjara dosa. Dosa yang telah merantai hatiku. Dosa yang gelap dan suram. Masih adakah cahaya untukku? Tapi aku memerlukan dahan untuk berpaut. Aku memerlukan pondok untuk berteduh. Lalu kepada siapakah aku harus mengadu? Hatiku menangis lagi sekalipun zahirnya air mataku tidak jatuh….. ~ Tut..tut..tut…. Handphone ku berbunyi nyaring di dalam kelas, aku lupa untuk silentkan. Semua mata memandang ke arahku. Lecture Dr. Asyraf juga tergendala seketika. “Minta maaf dokter”. Aku cuba menenangkan keadaan. Cemas. Takut dimarah. Kuambil handphone yang kuletak di dalam poket kecil beg hijau mudaku. Beg pemberian Syam ketika hari jadiku yang lepas. Rupanya mesej dari Syam. Bibirku mengukir senyuman. Senyuman yang tak dapat kupastikan maksud hatiku. “I BALIK KAMPUS ESOK. BEST JUGAKLAH LABUAN NI. I BELIKAN SAYANG COKLAT. I NAK JUMPA SAYANG PETANG ESOK, FREE TAK? RINDULAH… : ) ADA SUPRISE UNTUK SAYANG.“ Aku terpempan. Senyuman tadi kutarik semula. Tidak tahu apa yang harus kutaip. Memang aku juga bagai nak gila kalau tak berjumpa dengannya walau sehari. Kalau boleh aku ingin berkepit dengannya ke mana sahaja dia pergi. Tapi buku semalam bermain lagi dikotak fikiranku.
Entah kenapa, hatiku cukup terkesan dengan wasiat Rasulullah Subhanahu..eh, aku masih tak dapat mengingati apa maksud SAW. Aku buntu dan keliru di antara dua jalan yang harus kupilih. Jumpa atau tidak? Dapat kurasakan iman dan nafsu sedang cuba bertarung merebut hatiku. Dan walaupun akalku bertindak sebagai pengadil, aku keliru untuk menentukan siapa pemenangnya.
~ Seperti biasa, selepas solat subuh bersama kak Siti, kami kepadang untuk berjoging. Satu bilik dengan budak masjid ni, membuatkan tidurku selalu terganggu. Masuk jer waktu solat mesti dikejutkan terutama time subuh dan asar. Jadi terpaksalah aku buat-buat pandai sembahyang. Bukannya susah, ikut saje cara Kak Siti, yang penting tahu setiap solat ada berapa rakaat. Di rumah? Huh…Jangan mimpi aku sembahyang. Apa tidaknya, sejak kecil aku hanya kenal solat adilfitri, adiladha dan solat jumaat untuk orang lelaki. Hipokritkah aku? Atau inikah yang dikatakan dengan riak?
Aku terpandang lagi buku semalam yang masih ada di atas meja kak Siti. Teringin sekali kubaca hingga habis. Tapi rasa malu pada kak Siti mengunci mulutku untuk meminta izinnya. Rasa malu itu jugalah yang selalu menyekat tanganku untuk mengambilnya di depan Kak Siti. Mesej Syam semalam masih belum berbalas. Iman dan nafsu masih bertarung. Tak pasti bila pertarungan ini tamat. Hatiku hanya mampu menjadi penonton sedang akalku menjadi pengadil tapi aku tak pasti apa keputusannya. Setelah memakai kasut dan mengunci pintu bilik, kami berlari-lari kecil menuju stadium. Fikiranku masih melayang memikirkan buku semalam. Perlukah aku meninggalkan Syam? Jika tidak, perlukah aku terus membiarkan kami hanyut? “Kak, boleh tak saya tanya satu soalan” Dia memandangku. Tersenyum. Kemudian mengangguk kecil. “Kenapa kakak tak nak bercinta” Dia ketawa kecil. Eh, salahkah soalanku? “Kakak pun ada perasaan. Semua orang pun ada perasaan. Tak salah bercinta. Islam tak suruh kita matikan nafsu. Bukan salah dan berdosa kalau perasaan itu datang tanpa diundang. Silapnya bila kita gunakan pendekatan barat untuk menyalurkannya. “Pendekatan Barat, maksud kakak?” “hm…Bercinta sebelum kahwin. Itu pendekatan barat. Sedangkan Islam memberikan kita jalan yang paling mulia iaitu pernikahan. Hari Valantine tu siapa yang anjur? Islam takpernah suruh sambut apa-apa hari percintaan. Tapi sebaliknya kita disuruh meraikan pernikahan.” Pernikahan? Jadi salahkah percintaan kami? Telingaku seakan panas. Mulutku tak mampu bersuara. Seakan kerongkongku tersekat. “Maksud kakak, mana ada lelaki normal yang suka pada wanita yang dah dipegang-pegang oleh lelaki lain, yang dah dibawa ke hulu ke hilir. Tapi tengoklah kita sekarang, suami tak rasmi lagi orang lain dah merasa…..” Jantungku berdegup kencang. Sakit. Pedih. Apa yang akan aku persembahkan pada suamiku kelak? Tanganku? Tangan ini entah sudah berapa ramai yang menyentuhnya. Tubuhku? Tubuh ini juga sudah tercemar. Rambutku? Rambut ini juga sudah berapa kali dibelai. Suaraku? Suara ini apatah lagi. Lalu, apa? “ Ala…macam kereta. Bayangkan perempuan tu macam kereta yang diletakkan di show room, display only. Tapi ada juga yang boleh ditest drive. Ada pula yang kata; sekadar sepinggan mee goreng dan segelas sirap bandung,bawalah ke hulu ke hilir. Lelaki ini memang suka kalau dilayan. Tapi kalau diberi pilihan, mestilah lelaki normal nak rasmi kereta yang belum disentuh, yang belum terusik, yang belum diguna, kan?”
Kali ini dadaku, jantungku, hatiku, benakku semuanya seolah-olah menahan kesakitan yang amat sangat. Amat perit. Aku tertekan. Namunku cuba control. Tak mahu Kak Siti perasan. Ada suara berbisik, aku ini kategori kereta yang mana satu? “Tapi sebagai seorang muslim, kita kena faham matlamat kita hidup. Kakak tak bermaksud niat kita jaga diri ni untuk suami tapi tubuh badan kita ni pinjaman dari Allah SWT. Amanah Allah SWT. Kita kena jaga baik-baik dan salurkan ke tempat yang diredhoi Allah SWT. Ingat tak, bila mana seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW tentang seseorang di antara sahabat tu ada yang menuruti nafsu syahwatnya, apakah dia mendapat pahala? Tahu tak apa Rasulullah SAW jawab?” Aku sedikit gugup untuk menjawab soalan Kak Siti. Mana mungkin aku mengingatinya. Bahkan cerita tentang sahabat tu pun aku tak pernah tahu. Sahabat yang kuingat pun hanya Abu Bakar Al-Khattab, Usman As-Siddiq, Umar bin Affan dan Ali Bin….ah, aku sudah lupa. Nama sahabat-sahabat tu pun aku sudah ingat-ingat lupa. Kepalaku menggeleng perlahan. Kak Siti tersenyum. Kuharap senyuman itu mencerminkan dia faham keadaanku yang kurang pengetahuan. Kemudian dia bersuara semula. “Rasulullah SAW pun jawab: “Bagaimana pendapat kamu kalau dia meletakkan syahwatnya itu pada sesuatu yang terlarang, berdosakah dia? Begitulah. Tetapi kalau dia meletakkannya pada sesuatu yang halal, pasti dia dapat pahala.” (HR. Muslim)
Sebab tu kakak tak nak bercinta. Sebab tu kakak selalu pesan dengan diri kakak, jangan pandang lelaki lebih dari seorang kawan selagi dia bukan suamimu….! Kakak takut amanah Allah SWT ni kakak salah gunakan. Suami tu dah lah halal, berkat pula. Lebih-lebih lagi mahkota kita ni adalah sedekah buat suami kita.” Amanah?Aku terlopong. Betapa gentarnya aku mendengar perkataan tersebut dari mulutnya. Aku teringat ketika di Matrikulasi dulu, ustaz Redzwan pernah kata amanah tu adalah yang paling berat. Serta merta aku menakup mukaku erat-erat. Air mataku akhirnya tumpah. Tanganku terasa basah. Betapa hinanya diriku. Selama ini aku tidak menjaga amanah Allah SWT. Perlukah aku memutuskan hubunganku dengan Syam? Tapi hanya dia sahaja yang membahagiakanku. Bagaimana aku harus hidup tanpa belaiannya? Apakah aku buta kerana tidak menghargainya kasih sayangnya? Nafsu dan akalku kembali bertarung. Kali ini pertarungan lebih sengit. Masing-masing tak mahu mengalah. Masing-masing mahu menang. Dan aku menjadi mangsa pertarungan ini….
~ “Sayang, kenapa diam saja..? Syam yang tadinya hanya merenung kebisuanku mula bersuara sambil tangannya cuba merangkul tubuhku. Secara refleks aku mengelak tangannya daripada menyentuh tubuhku walau seinci. Dia agak terkejut dengan tindakanku. Matanya terbeliak besar. Aku kembali kaku. Nafasku keras. Tunduk memandang sky juice yang masih tak kusentuh. Tak ingin rasanya kupandang wajahnya. Wajah yang membuat aku lupa diri. Wajah yang membuat aku lupa agama. Namun wajah ini jugalah yang pernah memberikan aku kebahagiaan. Aku tersepit antara dua cinta yang harus kupilih…! Kalau diikutkan hati, ingin aku lari dari pertemuan ini. Pertemuan yang hanya membawaku ke lembah dosa. Pertemuan yang hanya mengheretku ke neraka. Tapi aku tak dapat menipu diriku. Bahkan kehadiranku di sini kerana aku masih menyayanginya. Kata-kata sayang dan rindu yang sering dilafazkannya membuatkan aku rasa bersalah menolak pelawaannya untuk berjumpa. Siapa lagi yang akan melafazkan kata-kata seindah itu padaku.
Coklat yang dijanjikannya ada di atas meja. Besar. Menyelerakan. Ada sebuah kotak kecil lagi di atas meja. Comel dan berbentuk hati. Dibalut kemas dengan warna pink. Warna kegemaranku. Inikah hadiah suprise yang ingin diberikan kepadaku? Inikah nilai cintaku? Tapi aku masih tak dapat menipu diriku. Aku memerlukannya sebagai tempat mengadu. Aku masih memerlukannya sebagai tempat bermanja. Aku tak punya siapa di dunia ini. Ibu bapaku? Huh….nama mereka pun aku tak tahu dan tak ingin aku tahu. Aku dibuang macam sampah. Mujurlah masih ada dua insan yang mulia memungut aku. Merekalah tempatku bermanja. Namun mereka telah tiada, meninggal dunia di dalam kemalangan semasa hendak mengambil aku di matrikulasi. Pada masa itulah aku mengetahui sejarah hidupku. Aku bingung, hilang keyakinan dan rasa terhina, pada siapa harus mengadu? Keluarga? Mana mungkin aku dipedulikan lagi. Hadirnya Syam memberikan sinar baru dalam hidupku. Hati yang kelam kembali bercahaya. Hati yang sunyi kembali ceria. Hati yang bingung kembali terurus. Lalu tegakah aku meninggalkannya? Tapi Sampai bilakah kami akan terus berdosa? Sampai bilakah aku terus membiarkan tubuhku dijelajahi? Dan sampai bilakah hubungan ini berterusan? Syam masih merenung wajahku. Masih setia menanti jawabanku. Aku pula masih tunduk mencari kekuatan untuk bersuara. Tanganku bermain-main dengan sky juice yang kupesan tadi. Masih sejuk. Dingin. Sedingin salju di Boston ketika aku melancong bersama keluargaku empat tahun lalu. Sama seperti keadaan kami sekarang. Tiada belaian. Tiada kemesraan. Dengan mengumpul kekuatan yang semakin menipis, perlahan-lahan kutarik nafas dan kuangkat muka. Aku memberanikan diri untuk memandang wajahnya. Anak matanya yang sejak tadi cuba menangkap pandanganku akhirnya kubalas. “Maafkan aku Syam…aku rasa kita patut berhenti di sini…”. Suara wanita siapakah itu? Suara akukah itu? Betulkah apa yang telingaku dengar? Atau lidahku tersasul? Tapi antara kami tiada siapa lagi wanita selain aku. Akukah? Benarkah aku? Dengan ayat yang terakhir itu, aku undur kerusi. Ingin pergi. Dia terpinga-pinga. “Kenapa ni, sayang? Sayang ada masalah ke?” Sayang? Perkataan yang keluar dari lidahnya yang lembut itu tiba-tiba bertukar menjadi sembilu yang menikam-nikam hatiku. Tajam. Sekaligus membangkitkan rasa perit yang belum pernah aku rasakan sebelum ini. Serta merta aku mengatup bibir. Antara geram, marah dan sedih. Pintu hatiku kuhempas kuat. Biar ia tertutup rapat. Tak ingin kubuka lagi. Lalu kucuba memadamkan bait-bait perkataan yang berkumandang di telingaku sebentar tadi.
“Syam, aku bukanlah wanita yang layak menerima panggilan itu. Simpanlah buat isterimu, jangan terlalu murah memberikan perkataan itu pada orang yang bukan selayaknya. Aku pergi bukan untuk menafikan naluri ini. Tapi kita ummat Muhammad yang punya cara teragung mengurus fitrah ini. Islam yang dibawa Baginda sudah cukup jelas. Akhlak dan peribadi yang ditunjukkan tiada keraguan. Lalu mengapa kita begitu tega meninggalkan suruhannya? Tentu dia sedih melihat ummat seperti kita. Kembalilah Syam..” Syam memandangku dengan pandangan tajam. Anak matanya tidak bergerak. Kaku. Macam anak patung kena sawan. Di dalam matanya, dapat kulihat ada warna-warna kecewa. Ada warna-warna duka. Ada warna-warna luka. Nafsuku berbisik, tariklah ayatmu tadi…. Aku menarik nafas dalam-dalam. Tekanan. Ada rasa bersalah. Tak pernah aku menyakiti hatinya. Tak pernah aku mendukakan hatinya. Tak pernah aku melukakan hatinya. Kerana hati itulah yang pernah menghadiahkan aku secebis cinta. Segunung kebahagiaan. Lalu kerana cinta itu, kukorbankan ketaatanku. Kukorbankan diriku. Kukorbankan segalanya. Aku memandang semula wajahnya. Wajah yang mengharap simpati seorang wanita. Namun wajah ini jugalah yang penah memberikan aku selautan dosa. Lalu dengan nada sayu, kukuatkan hati untuk membuka mulut. “Maafkan aku Syam…” Aku bingkas bangun dan berpaling. Kemudian kakiku bergerak perlahan. Terasa lemah meninggalkannya tapi kali ini aku sudah nekad mencari cinta yang lebih suci dan mulia. Cinta yang tidak berdosa. Cinta yang selamat. Cinta yang mendamaikan. Syam, kenangan bersamamu masih melekap kuat diingatanku. Mana mungkin aku melupakannya. Tapi ini tekadku. Kita perlu berhenti melakukan perkara bodoh ini dan melepaskan segalanya. Tiada guna mengharap sesuatu yang tak pasti. Syam, aku akui sememangnya sukar untukku menghentikan hubungan ini tapi biarlah jiwa ini beku dan kaku tanpa kehangatan kasih sayang itu andai ianya hanya singgah buat sementara. Kasih sayang yang hanya membawaku ke alam khayalan yang terlalu indah namun hakikatnya semua itu hanyalah noda bersulam dosa. Syam, biarlah jodoh menentukan kita. Yakinlah pada takdir, andai ada jodoh maka tak ke mana. Andai tiada jodoh antara kita, itulah yang terbaik untuk kita. Lelaki yang baik untuk wanita yang baik. Lelaki yang jahat untuk wanita yang jahat. Kita harus akur pada ketentuan-Nya. Sama-samalah kita bina diri, perbaiki setiap kelemahan. Kita masih belum terlambat. Jadikan kesilapan semalam pengajaran di hari esok. Maafkan aku Syam, hubungan ini perlu dihentikan. Suka atau tidak, ia perlu ada penutup sekaligus pembuka tirai episod yang baru pula. Mudah-mudahan di episod baru masih ada ruang untuk kita. Masih ada cahaya untuk kita. Masih ada title ummat Nabi Muhammad SAW untuk kita. Doaku, moga kau menemui kebenaran selepas ini….
Air mata yang sejak tadi kutahan mula bertakung menggaburi pandanganku. Namun mata hatiku dapat melihat ada cahaya di sebalik kesuraman yang selama ini menghuni segenap ruang hatiku lantaran dosa yang kulakukan. Di sudut lain, aku melihat ada benih cinta lain sedang tumbuh di dasar hatiku. Menanti kehadiranku. Cinta yang pasti. Cinta yang tiada penghujungnya. Abadi lagi kekal. Itulah cinta Allah dan Rasul-Nya. Layakkah aku….? ~
Salahkah hubungan ini? Keliru bertandang lagi diruang fikiranku. “Cubalah cari sejarah Rasulullah SAW. Ada tak kes Nabi kita Bercinta dengan Khadijah sebelum berkahwin? Ataupun dengan mana-mana isteri Baginda yang lain?.” Aku mengangguk. Berpura-pura faham. Sejarah Rasulullah? Ingatanku cuba mencari semula setiap saat di sekolah. Cuba mengingat wajah ustaz-ustazah yang mengajar ketika itu. Cuba mengingat buku-buku sejarah yang pernah aku baca kot-kot aku boleh ingat semula sejarah Nabi Muhammad Subhanahu..eh aku lupa lagi apa maksud SAW. Akhirnya aku harus akur ingatanku agak limited untuk kembali mengingati sejarahnya. Tarikh lahirnya pun aku lupa-lupa ingat, 20 Rabiulawal, 12 April kot, yang pasti tahun Gajah…! “Rasulullah SAW tauladan terbaik. Lelaki terbaik. Tak pernah sejarah yang mencatatkan percintaan Baginda sebelum kahwin melainkan yang diceritakan semua percintaan selepas kahwin. Jadi bercinta sebelum kahwin tu datang dari mana? Kalau dilakukan oleh Rasulullah SAW, bermakna kita yang bercinta sebelum kahwin ni pun mesti dapat pahala sebab mengikuti sunnah Baginda SAW. Mesti para sahabat dan ulama-ulama juga berlumba-lumba untuk bercinta sebelum kahwin. Ingat tak hadis Nabi SAW? “Wahai orang muda, sesiapa pun di antaramu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin, kerana inilah satu cara menahan mata daripada melihat kepada keburukan dan memelihara kamu supaya suci dan mulia Dan sesiapa yang tak mampu, hendaklah berpuasa kerana puasa melemahkan nafsu” (Bukhari wa Muslim)
Rasulullah SAW tak sebut pun pasal bercinta, tak suruh pun kita bercinta. Tapi pernikahan yang dianjurkan. Kalau tak mampu ada cara lain. Sejajar dengan isi kandungan Al-Quran: “Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia ciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mahu berfikir.” Surah Ar-Ruum, ayat 21. Jadi kalau kita buat apa yang Nabi tak suruh, kita ikut sunnah siapa? Sedangkan perkahwinan itu adalah amalan Rasul-Rasul terdahulu. “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan beberapa Rasul sebelum kamu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan……ilaa akhir ayat.” Surah Ar-Ra’ad, ayat 38.”
Panjang lebar penjelasannya. Aku seolah-olah disindir secara halus. Pedih untukku rasa. Pahit untukku telan. Tapi itulah kebenaran yang harus kuterima. “Kalau lelaki tu baik, pertama sekali, dia akan selamatkan kita dari maksiat. Selamatkan kita dari dosa. Dia takkan pegang-pegang kita sebab dia tahu tangan kita hanya untuk suami. Dia takkan ajak kita berjumpa berdua sebab dia tahu apa hukumnya. Kalau sebelum kahwin lagi dia tak boleh pimpin kita, bagaimana esok lusa? Boleh percaya ke mereka boleh bimbing kita? Dan kalau wanita itu baik, dia akan pastikan lelaki pertama di Hatinya adalah suaminya. Lelaki pertama selain mahramnya yang menyentuhnya adalah suaminya. Bukan senang-senang je bagi kat lelaki yang entah apa-apa. Dan lelaki ni, walau sejahat mana pun apabila ingin mengambil seseorang wanita sebagai isteri dan seterusnya menjadi ibu untuk anak-anaknya, dia mesti nak juga memilih wanita yang baik.” Aku tunduk. Mukaku merah. Malu. Tapi pada siapa? Pada Kak Siti atau…..? Ada rasa bersalah. Ada rasa berdosa tapi pada siapa…? Air mataku cuba kutahan. Tak ingin kulepaskan di depan Kak Siti. Biar ia bertakung di tasik hatiku yang kering kontang dilanda kemarau lantaran dosa yang kulakukan. Masih adakah setitis embun yang sudi bertakung di dalamnya? Kupandang langit hatiku. Gelap. Suram. Tiada bercahaya. Masih adakah mentari yang sudi menyinari segenap ruang hatiku? “Jadi Kak, perempuan yang bercinta tu jatuh maruahnya pada pandangan lelaki?” “Tentulah. Mana ada lelaki normal yang suka pada barangan ‘second hand’,sedangkan barang baru masih ada. “ Dadaku bergetar mendengar suaranya. Tegas tapi berhikmah.